Wednesday, February 6, 2008

BAB 9

"Ya Allah. Aku berlindung dengan keredhaanMu daripada kemurkaanMu, dengan kemaafanMu daripada siksaanMu, dan aku berlindung denganMu daripada tidak mampu memujiMu seperti Engkau memuji diriMu sendiri.", Ya Allah, Ya Tuhan kami, perbaikilah untuk kami akan agama kami yang menjadi pegangan segala urusan kami. Perbaikilah dunia kami yang padanya tempat penghidupan kami. Perbaikilah akhirat kami sebagai tempat terakhir untuk kami. Jadikanlah hidup ini sebagai bekalan untuk kami pada semua kebajikan. Jadikanlah mati bagi kami yang sejahtera dari segala kejahatan."
Amiin Ya Rabbal 'Alamin.....
Aku mengaminkan doa ummi. Kami menunaikan Zuhur berjemaah hari itu. Fairuz sudah dua hari tidak pulang ke rumah, tidak pula aku tahu ke mana menghilangnya. “Wardah.” Ummi memanggilku, menyedarkan aku dari lamunan.“Ya, ummi.” Aku mengambil tempat di sisi ummi.“Wardah menyesal?” Tuhan, kenapa soalan itu yang harus diajukan padaku?“Kenapa ummi cakap macam tu?”“Ummi tak pernah nampak Wardah bahagia sepanjang berumahtangga dengan Fairuz. Ummi minta maaf, sayang.” Ya Allah, kenapa perlu ummi melafazkan maaf? Bukan salahmu, ratu hatiku…“Ummi, mengahwini Fairuz keputusan Wardah. Ummi tak terlibat langsung dalam pilihan tu. Kenapa ummi nak minta maaf?” “Kalaulah ummi ada di rumah hari tu, mesti semua ni takkan terjadi.” Aku lihat mata redup itu mula bergenang air mata.“Ummi, kalau Allah dah kata ‘Kun’, maka terjadilah…bukan salah ummi. Mungkin ini balasan akan dosa-dosa Wardah sebelum ni.” Aku menutur bicara, mengharapkan ummi tenang kembali. Aku sudah penat berendam air mata, menangisi takdirku. Adakalanya apa yang terjadi dalam hidup ini tidak seperti yang kita inginkan. Suratan yang adakalanya kebetulan itu yang menakutkan manusia untuk membuat pilihan dalam kehidupan. Air mata ummi aku kesat perlahan. Ralit aku menenangkan ummi, telefon tanganku berbunyi. Ah, siapa lagi yang menghubungiku tika ini? Aku menjawabnya tanpa nombor di skrin terlebih dahulu.“Assalamualaikum.” Tutur ku mulakan. Salamku disambut lembut. Aidil Azhiim…“Alaikumussalam, Wardah. Kaifa haluki?” tenang suara itu, masih seperti dahulu.“Alhamdulillah. Anta?” “Alhamdulillah aidhan. Baby sihat?”“Hurm, alhamdulillah. Dah semakin aktif anak angkat anta ni.” Tuhan, sepatutnya Fairuz lah yang menanyakan soalan ini padaku, bukan Aidil…“Anti bahagia?” Ya Allah, mengapa soalan itu jua yang dipersoalkan?“Akhi, bahagia atau tidak bukan jadi ukuran. Ana hanya nak anak ini berpeluang bertemu ayahnya sendiri.”“Ukhti, bersabarlah. Ana faham apa yang anti lalui. Ummi sihat?” ummi merindui diri ana yang dulu, Aidil!“Alhamdulillah. Abi?” “Alhamdulillah jugak. Ukhti, ana ada sesuatu yang nak ana katakan pada anti.”“Aidil, sudahlah. Ana sah menjadi isteri Fairuz. Dan ana bakal melahirkan anaknya nanti. Biarlah antara kita hanya tinggal kenangan. Ana pasti anta akan bertemu nisa’ yang lebih layak untuk bersama anta.”“Ukhti, ana faham. Ana tahu bukan senang nak menerima semuanya. Ana menyesal melepaskan anti dulu.”“Akhi, lupakah anta pada apa yang pernah anta katakana pada ana dulu? Adakalanya apa yang kita sangka baik untuk kita adalah buruk bagi kita. Begitu juga sebaliknya. Mungkin ana bukan tolibat yang baik untuk anta.” “Bukan lupa, ukhti. Tapi ana rasa bersalah.”“Bersalah? Tapi kenapa?”“Anti masih tunang ana ketika perkara itu terjadi. Sepatutnya ana jaga anti.”“Akhi, selagi kita tidak sah diikat dengan ijab dan Kabul, ana bukan tanggungjawab anta. Ana masih tanggungjawab ummi. Sudahlah. Ana tak nak ingat lagi apa yang telah terjadi. Lagipun baby angkat anta ni dah tak sabar-sabar nak menjenguk dunia.” Aku cuba mengubah topik perbualan. Cukuplah, Tuhan…tak perlu Kau menduga perasaan ini lagi. Cukuplah ummi sahaja yang disarang rasa bersalah. Mengapa lelaki sebaik Aidil Azhiim juga Kau sarangkan perasaan itu? Bukan salahnya, Ya Allah…bukan salah mereka…Aidil tertawa mendengar kataku itu. Aku tahu walaupun benih yang ku kandung ini bukan anaknya namun kasih yang disimpan olehnya kepada anakku ini melebihi kasih yang ada pada Fairiz sendiri. Ya Allah, Kau tabahkan hatiku, Tuhan…“Wardah!” Ya Allah, tersentap jantungku mendengar namaku dijerit begitu. Aku menoleh, Fairuz sudah tegak di belakangku. “Kau cakap dengan siapa?” tinggi suara Fairuz di telingaku. Aku terus menekan butang ‘end’, menamatkan perbualan aku dengan Aidil Azhiim tanpa bicara. “Wardah bercakap dengan kawan Wardah.” Aku cuba sesabar mungkin menjaga nada suaraku. Aku marah, aku ingin benar meninggikan suara pada Fairuz namun mengenangkan dia adalah suamiku, aku berserah. Aku tak mahu menjadi isteri yang derhaka. Hatiku rancak berzikir, menenangkan hatiku sendiri.“Kawan atau jantan tu? Kau ni tak habis-habis lagi berhubungan dengan dia. Aku dah cakap aku tak suka, maknanya aku tak suka! Murah sangat kau ni, Wardah!”“Fairuz!” ya Allah, ummi…“Ummi sendiri tak pernah cakap macam tu pada anak ummi. Apa hak Fairuz untuk kata Wardah macam tu? Kalau betul Wardah murah, Fairuz adalah penyebabnya!” aku memegang tangan ummi, cuba menghalang ummi dari terus memarahi suamiku itu. “Ummi jangan cuba nak campur dalam urusan rumahtangga saya. Entah-entah ummi yang beria benar suruh Aidil tu contact isteri saya. Maklumlah, ummi kan nak sangat bermenantukan Aidil tu?” Pang! Satu tamparan hinggap di wajah Fairuz. Bukan dari ummi tetapi dari ku sendiri. Aku sudah tidak sanggup menahan perasaan ini. Ampunkan dosa hambaMu ini, ya Allah…ampunkan aku…“Abang, kalau abang hina Wardah, Wardah tak kisah. Wardah tak pernah melawan bila abang maki Wardah macam-macam. Abang hina Wardah, abang sumpah seranah Wardah. Tapi kalau sampai tahap menghina ummi, Wardah takkan maafkan. Cukuplah apa yang abang dah buat pada keluarga ni. Abang belum puas ke?”“Kau tampar aku, Wardah? Kau sedar tak aku siapa? Kau ingat tak aku ni taraf apa pada kau? Kalau bukan aku yang nak kahwin dengan kau, yang dalam perut kau tu takkan ada ayah!” Fairuz menggenggam tanganku. Tuhan, sakitnya…“Fairuz. Sudahlah. Apa gunanya bergaduh macam ni? Apa gunanya kau buat macam ni? Dulu kau yang beriya benar nak mengahwini Wardah. Ummi bagi cara elok, Fairuz. Ummi harap sangat kau dapat jaga Wardah. Tapi kau hancurkan harapan ummi. Ummi tak kisah siapa pun yang jadi menantu ummi. Yang penting dia dapat bahagiakan Wardah. Tapi apa yang kau bagi pada dia? Lepaskan tangan dia, Fairuz! Jangan seksa anak ummi!”“Kau nak aku lepaskan kau, Wardah? Aku lepaskan tangan kau. Tapi jangan harap aku ceraikan kau! Biar kau terseksa, Wardah! Aku gantung kau tak bertali!” serentak itu, Fairuz terus melangkah keluar dari rumah itu, meninggalkan aku dan ummi. Aku terkesima, tidak mampu menelan kata-kata Fairuz itu tadi. Air mata yang ditahan sejak tadi menitis satu persatu. Tanganku mula membiru. Tapi aku tidak sakit kerana itu, aku sakit kerana kata-kata Fairuz tadi!“Abang…” namun Fairuz sekali lagi telah lenyap dari pandangan mata…

No comments: