Saturday, February 9, 2008

BAB 19

Lama benar pemergian Wardatul Syauqah aku rasakan. Habsyah telahpun selamat melahirkan anak sulungnya, walaupun tanpa Fairuz di sisi. Lelaki itu akhirnya telah ditahan polis, lantaran tindak ganasnya pada Habsyah, dan aku sendiri. Abi memaksaku membuat laporan setelah aku cedera dibelasah teruk olehnya dan aku hanya menurut. Sudahnya, dia berada di bawah pengawasan pihak polis, sehinggalah dia memukul Habsyah sekali lagi kerana menurut amarahnya. Kini, dia disumbat ke penjara, kerana Habsyah turut akur dengan pujukan Abi untuk membuat laporan dan mendedahkan apa yang Fairuz lakukan selama ini kepadanya. Tambahan, Fairuz pernah mengugut untuk terus membunuh anaknya sebaik sahaja dia dilahirkan. Kudrat Allah tiada siapa yang tahu. Habsyah selamat melahirkan A’bid Shuhaimi, walaupun dia sedang keseorangan di rumahnya. Saat ini, aku rasakan betapa kerdilnya aku di mata Yang Esa. Anis Maisarah yang semakin menginjak usia, kian mengerti yang umi nya menghilangkan diri. Aku semakin bahagia dengan hidupku, biarpun masih diganggu cinta semalam Khairunisa’ Nadia. Pada Borhan, aku telah berjanji untuk mengembalikan Khairunisa’ kepadanya walaupun dia menolak. Pada Borhan, dia tidak layak untuk memiliki cinta Khairunisa’ namun aku yang beriya memujuknya. “Assalamualaikum Aidil.” Salam itu mengejutkan aku. Aku berpaling, seraya melihat ummi menghampiriku. Dia tersenyum.“Alaikumussalam, ummi. Bila ummi sampai?” “Tadi. Saja teringatkan Anis Maisarah. Ummi sampai je, Bibik cakap dia baru je tidur. Aidil sihat?” aku tersenyum lagi. Sudah lama Ummi membiarkan Anis Maisarah tinggal bersamaku. Mujur ada Bibik yang membantuku untuk mengasuhnya ketika pemergianku ke tempat kerja. Wardatul Syauqah sehingga kini belum ada khabar. Aku pula sudah semakin berputus asa untuk mencarinya. Semakin dekat aku rasakan, semakin jauh dia lari. Pernah suatu ketika dia menghubungi ummi namun apabila mendengarkan suaraku, dia memutuskan panggilannya. Aku tak tahu di mana dia sekarang. Aku sendiri bingung, atas alasan apakan Wardah melarikan diri…“Aidil…” ummi mengembalikan aku pada realiti. Aku tersenyum lesu.“Ummi tahu Aidil fikirkan Wardah. Jangan risau, Aidil. Ummi yakin, Wardah dah semakin hampir pulang. Lagipun ummi tahu Wardah dah maklum tentang penangkapan Fairuz. Wardah hanya takutkan Fairuz, sebab tu dia larikan diri. Percayalah, Aidil.” Ummi menenangkan aku.“Aidil tahu, ummi. Tapi salah Aidil juga, dah dua kali Wardah jadi macam ni. Dulu kerana Aidil tak jaga dia dengan elok, dia jadi mangsa Fairuz. Sekarang, sebab Aidil tak ada waktu dia memerlukan, dia larikan diri. Aidil rasa bersalah pada ummi, pada Anis Maisarah…”“Bukan salah Aidil pun…ummi tak pernah salahkan Aidil. Ummi tahu Aidil dah sedaya upaya cuba jaga Wardah. Anak ummi tu je yang degil. Biarlah dia berfikir, Aidil. Biar dia ambil masa selama mana yang dia nak untuk timbangkan mana yang baik dan mana yang buruk. Ummi yakin dia akan kembali nanti.”“Ummi tahu Wardah di mana?”“Ummi tak pernah tahu, Aidil. Tapi dua minggu lepas, dia ada telefon ummi. Bila ummi tanya dia di mana, dia tak jawab pun. Dia banyak tanyakan Anis Maisarah. Dia tahu Fairuz dah kena tangkap. Dia pun tahu Anis Maisarah bersama kamu sekarang.”“Dia ada cakap bila dia nak balik, ummi?” “Tak, Aidil. Ummi pun dah malas nak tanya. Biarlah bila pun dia nak balik, Aidil. Kamu tu, dah selesai masalah dengan Nisa’?” ya Allah, hampir saja aku terlupa akan wanita itu…yang masih mengharapkan aku…“Dia ada hantar emel 3 hari yang lepas. Katanya dia masih menunggu saya. Entahlah, ummi…tak pernah terbuka hati saya untuk dia…”“Kamu dah buat istikharah, Aidil?”“Alhamdulillah, dah ummi…bayangan Nisa’ langsung saya tak nampak. Saya hanya nampak Anis Maisarah.” Aku memandang ummi, melihat wajah tua yang masih lagi kuat mengharungi ujian dan dugaan. “Baba ada hubungi kamu?”“Ada…Baba tanyakan Anis Maisarah.”“Sarah je?” ummi tersenyum penuh makna.“Baba tanyakan ummi, dan Baba tanyakan Wardah. Apa lagi yang perlu saya jawab tentang Wardah, ummi?”“Sabarlah, Aidil. Kalau Wardah tu betul-betul jodoh kamu, insyaAllah tak akan ke mana.”“Abi…” panggilan itu membuatkan aku berpaling. Anis Maisarah yang masih merah matanya kerana menangis terus aku dapatkan.“Kenapa anak abi, ni?” dia merangkul leherku, dan meletakkan kepalanya di bahuku.“Sarah rindu umi…” ya Allah, sabarlah sayang…umi akan pulang nanti, percayalah…abi janji…sabar,
sayang
…………………………………………………………………………………………………

SETAHUN BERLALU…

Tawa Abi dan Ummi jelas di pendengaranku. Aku ke luar halaman untuk menyertai mereka. Lagak Anis Maisarah yang sedang mengusik A’bid Shuhaimi menggelikan hati kami semua. Alhamdulillah, segalanya sudah beransur pulih. Trauma yang Habsyah alami sudah hilang kini. Dia bahagia dengan kehidupan barunya. Ummi yang mengambil Habsyah sebagai anak angkat turut merasakan tempias kebahagiaannya. Fairuz masih meringkuk di penjara. Biarlah, biar dia rasakan padannya balasan itu dengan tindakannya selama ini. Baba dan Mak Cik Alia juga ralit memerhatikan Anis Maisarah. Bagi kami, dia lah satu-satunya insan yang sering mengubat kerinduan kami pada Wardatul Syauqah. Wardah…rindu ini masih ada buat anti. Bila lagi anti akan pulang dan mengubat sendiri kerinduan yang telah lama bersarang di hati kami? Anis Maisarah sudah dewasa, Wardah…dia sering menanyakan anti. Apa lagi jawapan yang harus ana berikan? Ana sudah terlalu sering menipunya, Wardah. Sehinggakan ana rasakan ana sudah tidak mampu untuk menipu Anis Maisarah lagi. Pulanglah, Wardah…pulanglah dan berilah jawapan pada penantian Anis Maisarah ini…dan berilah jawapan pada penantian ana…pulanglah… “Abi…” Anis Maisarah berlari mendapatkan ku. Aku lekas mendukungnya. Dia ketawa melihatkan A’bid yang tidak dapat mengejarnya. Ah, anak kecil ini benar-benar menghiburkan hati kami semua. Anis Maisarah lekas mengerti yang A’bid Shuhaimi adalah adiknya. Dia menerima, namun sering dia bertanya mengapa bukan umi nya yang melahirkan A’bid dan mengapa Habsyah pula yang melahirkannya. Kami sering keliru untuk menjawab soalan ini, bimbang juga Habsyah akan terasa namun bila Habsyah sendiri yang menjelaskannya pada Anis Maisarah, kami mengerti yang Habsyah sudah mula redha dengan nasibnya. “Abi…Sarah nak umi. Kenapa Abid ada mak, tapi Sarah tak ada umi?” Tuhan, soalan itu lagi yang ditanya. Aku memandang ummi dan Baba, cuba meraih simpati agar membantuku. Baba akhirnya menghampiri kami dan mengambil Anis Maisarah dari tanganku.“Cucu datuk pandai, kan?” Baba mengumpan Anis Maisarah. Dia mengangguk perlahan.“Kalau cucu datuk ni pandai, tunggu umi balik, ya? Umi gi kerja…nanti umi balik…”“Datuk tipu! Abi pun tipu! Nenek, Atuk Abi pun tipu! Mak Habsyah tipu! Nenek Alia pun tipu! Bibik tipu! Adik pun tipu! Semua tipu Sarah! Umi tak kerja! Umi lari dari rumah! Semua tipu Sarah! Semua jahat!” Sarah terus melarikan diri dari kami semua selepas menjerit begitu. Aku panik, tidak tahu apa yang harus aku lakukan. Anis Maisarah terus berlari memasuki rumah sambil menangis. Aku memandang wajah ummi, wajah abi, wajah Baba, wajah Habsyah…semuanya kelu dan bisu. Mereka juga terkejut seperti aku. Dari mana Anis Maisarah punya kekuatan untuk berkata begitu? Ya Allah…Kau bantulah hambaMu ini…serentak itu, sebuah kereta memasuki perkarangan rumah kami…“Abi…umi…” suara itu membuatkan aku mengangkat wajahku memandangnya. Ya Allah, benarkah aku tidak bermimpi? Betulkah aku di alam realiti?

No comments: