Wednesday, February 6, 2008

BAB 10

13 Oktober 2004
Assalamualaikum Anis Maisarah,
Selamat menjenguk dunia!
-Abi-

Aku merenung kad pemberian Aidil Azhiim itu. Air mataku mengalir lagi. Anis Maisarah selamat dilahirkan ke dunia yang fana ini, biarpun tanpa ayahnya di sisi. Fairuz benar-benar mengotakan katanya. Aku dibiarkan bergantung tak bertali. Sekali pun dia tidak pernah menjengukku sejak kali terakhir dia melafazkan kata-kata itu. Lelaki itu terlalu dayus! Egonya mengalahkan tembok sekukuh besi dan konkrit. Ah, apalah gunanya aku mengingati lelaki yang gagal menjadi suamiku itu. Ya Allah, Kau kurniakanlah apa yang terbaik buat diriku dan keluargaku. Tangisan Anis Maisarah mengejutkan ku dari lamunan. Aku cuba bangun mendapatkannya. Pasti dia kelaparan. Dalam kepayahan cuba mendapatkan Anis Maisarah, ummi tiba-tiba hadir. “Ya Allah, Wardah. Kenapa tak panggil ummi?” ummi tangkas mengambil Anis Maisarah dari katilnya dan diserahkan padaku. Selimut yang menutupi tubuhku ummi turunkan sedikit agar mudah aku memegang puteriku itu. Tuhan, indahnya perasaan menatap seraut wajah yang menenangkan ini. Barangkali inilah perasaan ummi ketika melahirkan aku dulu. Subhanallah…sempurna sungguh ciptaanMu yang Kau kurniakan padaku ini…“Wardah tak nak menyusahkan ummi. Dah banyak Wardah susahkan ummi.” Aku menyusukan anakku. Lapar benar puteri kecilku ini.Ummi mengusap dahiku.“Tak ada susahnya, sayang. Wardah dah lahirkan cucu ummi. Comel pulak tu. Terima kasih, sayang.” Ya Allah, sepatutnya Fairuz yang mengucapkan terima kasih padaku. Abang…abang di mana?Sekelumit rasa rindu singgah di hatiku. Melihatkan Anis Maisarah yang hampir seiras bapanya, menambahkan rasa hiba. Sekalipun aku tahu, rasa cinta pada Fairuz tidak pernah hadir namun kerana dia adalah suamiku yang sah pada syara’, yang telah diijab kabulkan padaku, aku cuba melahirkan rasa sayang padanya sekalipun bukan cinta. Anis Maisarah merengek minta dibelai. Ya Allah, betapa agungnya kuasaMu. Rasa marahku pada Fairuz pudar serta merta melihatkan Anis Maisarah. Abang, tidak inginkah abang melihat anak abang ini? Wajahnya mirip abang, mulutnya, matanya…melihatkan dia mengingatkan Wardah pada abang…Bukan aku tidak pernah cuba mencari Fairuz. Puas aku cuba menjejakinya. Puas aku cuba menghubunginya. Apabila aku bertanya pada ibu dan bapanya, kata mereka dia bukan lagi anaknya sejak melakukan perkara keji itu. Mereka malu untuk mengakunya sebagai anak. Untuk bertanya pada rakan-rakannya, aku tidak pernah mengenali mereka. Anis Maisarah merengek lagi dengan tangisan manjanya. Sabar, sayang…umi tahu Anis rindukan abah…“Assalamualaikum Wardah.” Aku berpaling pada suara itu. Aidil Azhiim bersama abi. Aku tersenyum, mengenangkan betapa Aidil dan abi banyak berjasa pada keluargaku. Sewaktu aku sedang sakit ingin melahirkan Anis Maisarah, ummi hilang punca. Ingin menghubungi Baba, ummi bimbang mengganggunya yang sedang bersama isteri. Ingin menghubungi Fairuz, puas ummi mencuba namun tidak membuahkan hasil. Ingin memandu sendiri, ummi tidak pernah tahu untuk memandu. Akhirnya, ummi terpaksa menghubungi Aidil Azhiim dan abi untuk menghantar aku ke hospital. Dan terjadilah sketsa yang membuai aku dalam mimpi yang tiada penghujung. Aidil Azhiim terpaksa memegang watak Fairuz sepanjang tempoh aku di bilik bersalin. Doktor yang bertanggungjawab menyambut kelahiran Anis Maisarah menyangkakan Aidil Azhiim adalah suamiku. Dan akhirnya, Aidil Azhiim lah yang melaungkan azan di telinga puteriku.“Alaikumussalam.” Aidil Azhiim dan abi terus merapatiku. Wajah mulus Anis Maisarah disentuhnya. Anakku itu seolah-olah mengenali siapa yang menyentuhnya. Tindak balasnya pada sentuhan itu menyenangkan hatiku. Antara Aidil Azhiim dan Anis Maisarah, seolah-olah ada tali yang mengikat mereka. Abi tersenyum memandangku.“Wardah dah sihat?” abi memulakan bicara, melihatkan kami berdua seolah kaku di tengah pelusuk kesunyian.“Alhamdulillah, abi. InsyaAllah kalau tak ada aral, esok dapatlah Wardah balik rumah.” Singkat jawapanku, sesingkat akalku yang tak mampu mengatur kata melihat kemesraan Anis Maisarah dan Aidil Azhiim. Sekejap sahaja, anakku itu sudah bertukar tangan. Dia dipangku Aidil Azhiim. Ya Allah, barangkali inilah pemandangan yang dapat aku lihat seandainya Fairuz di sisiku.“Anis Maisarah dengar tak? Esok InsyaAllah dapat balik rumah. Boleh pergi rumah abi…” Aidil Azhiim berbahasa dengan anakku. Bahagia terpancar jelas di wajahnya biarpun Anis Maisarah bukan anaknya. Tok tok tok. Kami berpaling pada pintu yang diketuk serentak. Apabila ia dikuak, muncul seorang wanita yang tidak pernah ku lihat sebelum ini. Aku cuba mengingati, mungkinkah salah seorang dari ahli usrah ku ketika di sekolah menengah dulu namun hampa. Wajah itu langsung tidak pernah aku lihat sebelum ini.“Assalamualaikum.” Wajah itu menghulur tangan, bersalam denganku. Aku menyambutnya dengan sebuah senyuman. Aidil Azhiim yang masih memangku Anis Maisarah kelihatan bingung. Mungkin masih cuba meneka siapa gerangan wanita itu.“Alaikumussalam.” Balasku, lembut. Wanita itu mengambil tempat di sisiku setelah menyalami ummi. Dia seolah-olah begitu mengenali aku.“Wardah?” aku mengangguk, lemah. Nama ku laju meluncur dari bibirnya.“Err...saudari siapa?” serba salah aku menuturkan kata-kata itu. Wajahnya masih bersalut riak tenang.“Saya isteri kedua Fairuz.”

No comments: