Saturday, February 9, 2008

BAB 15

Panggilan Fairuz aku biarkan bisu tidak berjawab. Sudah beberapa kali dia menghubungiku, barangkali mahukan kepastian tentang janjiku padanya. Namun aku buntu, aku tidak tahu siapa yang harus aku pilih. Berita terbaru yang aku terima dari Habsyah, anaknya telah beransur pulih dan dia kini telahpun dibenarkan pulang ke rumah. Fairuz juga katanya telah berhenti menyakiti dirinya. Aku bersyukur mendengar kenyataan itu. Semoga Allah terus membuka pintu hati Fairuz agar dapat melihat intan di hadapannya itu. Aku tak sanggup kerana aku mahligai yang cuba Habsyah pertahankan musnah walaupun pada hakikatnya, dia yang telah memusnahkan mahligai yang pernah suatu ketika dulu milik aku. Rasa rindu itu hadir lagi…namun aku tidak pasti aku rindukan siapa. Rindukan Fairuz…atau rindukan Aidil Azhiim…atau sememangya rasa rindu ini hanya singgah di hati semata-mata untuk menguji diriku. Potret Baba bersama Ummi ku tatapi lagi. Ah, cinta itu apa? Apakah cinta bagiku adalah Anis Maisarah? Kanak-kanak kecil yang sepatutnya menjadi tanda cinta antara aku dan suamiku. Namun yang terjadi adalah Anis Maisarah lahir dari tuntutan nafsu Fairuz yang menggila. Aku pasrahkan hidupku padaMu, Tuhan…aku berserah segalanya pada takdirMu…apa yang terbaik untukMu, Tuhan…itulah yang terbaik bagiku…amin… “Assalamualaikum, mawar berduri.” Aku terkejut mendengar namaku dipanggil. Belum pun sempat aku menoleh ke arah panggilan itu, Baba telahpun menghampiriku. Aku menyambut tangannya dan mengucup tangan tua itu. Walaupun Baba bukan lagi suami Ummi yang sah, dia tetap ayah kandungku. Selepas melahirkan Anis Maisarah, aku mulai sedar perasaan seorang ayah dan ibu. “Alaikumussalam, Baba. Baba sihat?” aku bersuara sebaik sahaja Baba mengambil tempat di sisiku. “Sepatutnya Baba yang tanyakan kesihatan Wardah.” Wajah tua itu mengukir senyuman. “Alhamdulillah, Wardah sihat seadanya. Baba?” “Alhamdulillah aidhan. Wardah dah ok?” “Urm…Wardah memang ok, Baba.” Ringkas jawapanku. aku tahu kali ini Baba akan menasihatiku. Baba memang begitu. Setiap kali Ummi gagal mengawal emosiku, dan Aidil Azhiim tidak mampu merasionalkan aku, mereka akan memanggil Baba. Aku lekas tunduk pada kata-kata Baba. “Baba tak fikir Wardah dah ok.” Pendek saja kata-kata Baba namun penuh makna. Aku memandang wajah Baba. Dia tersenyum lagi. “Wardah nak tahu satu rahsia tak?” aku mengangguk, perlahan. Baba mengambil tanganku dan menggenggamnya erat. “Baba menyesal mentalakkan Ummi.” Aku memandangnya, terkejut dengan jawapan itu. Aku cuba mencari riak bohong di matanya namun nyata, dia jujur.“Baba tak sangka Baba akan buat keputusan sebodoh itu. Tapi untuk menyesali semua itu, bererti menyalahkan takdir. Baba pasrah, mungkin benar Baba bukan tolibun yang baik untuk tolibat semulia Ummi. Tapi Baba ralat. Baba tinggalkan ummi untuk membina rumahtangga bersama wanita bernama Alia. Baba tahu, Wardah sendiri tak pernah dengar nama tu. Ummi sendiri tak pernah kenal wanita yang merampas takhta ummi. Baba bukan sengaja nak rahsiakan semua tu.”“Maksud Baba, ummi tak pernah kenal isteri Baba yang baru?” Baba tersenyum lagi.“Dah tak baru lagi, sayang. Dah dekat 3 tahun Baba menikahi Alia. Selama tempoh tu, Baba tak pernah kenalkan dia pada ummi dan Wardah. Bukan Baba tak nak tunjuk, tapi Baba malu. Baba malu pada Allah, Baba malu pada ummi kerana meninggalkan dia untuk seorang wanita yang tidak setanding dengan dia. Baba mengaku, ummi wanita yang sempurna. Adakalanya Baba rindukan saat-saat Baba bersama ummi. Baba rindukan kesempurnaan bidadari yang pernah Allah kurniakan pada Baba.”“Tapi kenapa Baba tinggalkan Ummi?”“Baba perlu selamatkan perniagaan Baba. Satu-satunya orang yang sanggup membantu Baba ketika itu adalah ayah Alia. Dan dia minta Baba menikahi Alia dengan syarat Baba menceraikan ummi. Baba ralat. Baba nak selamatkan perniagaan Baba. Baba juga nak selamatkan pernikahan Baba dan ummi. Sebab tu Baba tak balik rumah selama 2 tahun. Bukan senang Baba nak buat keputusan. Semakin hari perniagaan Baba semakin teruk. Macam mana Baba nak sara ummi dan Wardah lagi? Duit yang Baba kirimkan pada Wardah sebelum ini untuk pengajian Wardah adalah pemberian ayah Alia. Dia terus mendesak Baba untuk menikahi Alia dan meninggalkan ummi. Akhirnya Baba terpaksa, kerana dia mengugut untuk mengapa-apakan Wardah kalau Baba enggan. Baba terpaksa, sayang…maafkan Baba.”Air mata lelaki tua itu mula mengalir. Ya Allah, baru kali pertama aku melihat Baba menitiskan air matanya kerana ummi. Dalam benar cintanya pada ummi. Aku mula mengerti kini. Segalanya bukan salah Baba. Baba juga adalah mangsa keadaan. Baba juga adalah antara orang yang terpaksa mengorbankan kebahagiaannya demi membahagiakan orang lain!“Wardah dah lama maafkan Baba. Wardah tak pernah salahkan Baba walaupun dulu Wardah pernah membenci Baba. Wardah minta maaf, Baba. Ampunkan Wardah…” aku menyalami tangan tua itu. Aku kucup tangannya itu penuh kasih seorang anak. Aku mula sedar akan salahku pada Baba selama ini. Aku sering salah faham akan tindakan lelaki itu. Aku tahu aku silap. Aku sedar aku salah. Ampunkan Wardah, Baba…“Sayang…” Baba mengangkat wajahku supaya memandangnya.“Baba ceritakan semua ni bukan Baba nak simpati Wardah. Baba tahu Baba salah kerana melakukan semua ini pada ummi dan Wardah. Ummi tak pernah tahu kesulitan yang Baba hadapi. Baba tak nak menyusahkan Ummi. Baba terlalu cintakan ummi.”Melihatkan aku yang kekal membisu, Baba menyambung lagi.“Dan kerana itu Baba tak nak Wardah ulang kesilapan Baba. Baba tak nak Wardah tinggalkan kebahagiaan Wardah untuk kebahagiaan orang lain. Sekarang Alia gembira, Alia bahagia. Tapi hati Baba macam mana? Hati Baba masih pada ummi. Baba rasa bersalah yang amat pada ummi. Baba masih tak dapat lupa kenangan Baba bersama ummi. Baba tak adil pada Alia. Baba juga tak adil pada Ummi. Baba tak nak Wardah korbankan Aidil Azhiim untuk Fairuz.”“Tapi Wardah terpaksa…” air mataku muka menitis lagi. “Wardah tak pernah terpaksa. Baba pun tak pernah terpaksa. Kita ada pilihan, Wardah. Istilah terpaksa tu hanya satu alasan. Baba yakin Wardah mampu buat pilihan yang tepat. Wardah yakin pilihan Wardah untuk kembali pada Fairuz tu betul? Susah payah Wardah lepaskan diri dari cengkaman dia dulu. Sekarang dengan senang Wardah nak serah diri pada Fairuz? Wardah tak bimbang dia akan ulang apa yang dia buat pada Wardah?”“Wardah tak nak dia seksa Habsyah…” aku tidak berdaya menahan tangisku lagi. “Dia hanya seksa Habsyah sebab dia tahu Wardah takkan tahan melihat orang lain diseksa. Baba yakin dia tak berniat nak cederakan Habsyah. Fairuz tu gila, Wardah. Lelaki macam dia tu tamak.” Baba memegang bahuku, cuba memujuk esakan ku yang semakin menjadi-jadi. Aku kerap menangis kebelakangan ini. Sudahlah aku ditinggalkan Fairuz, kini dia cuba menggunakan Habsyah untuk mendapatkan aku kembali. Apa sebenarnya yang dia inginkan? “Wardah tak tahu, Baba…Wardah keliru…Wardah sayangkan Fairuz…tapi Wardah cintakan Aidil…” Baba tersenyum lagi untuk ke sekian kalinya. “Akhirnya Wardah mengaku yang Wardah cintakan Aidil Azhiim…” aku memandang wajah tua itu.“Baba dah sedar perkara ni dari dulu lagi. Baba tahu Wardah ada perasaan yang sama pada Aidil Azhiim tapi Wardah takut. Baba faham perasaan Wardah. Tapi dalam keadaan ni, Wardah memperjudikan perasaan Wardah dan perasaan Aidil Azhiim. Wardah tak kasihankan dia ke menunggu Wardah dari dulu? Sejak kali pertama dia lihat Wardah, dalam hati dia dah berniat nak jadikan Wardah isteri dia. Bila dia kenal Baba, melalui Abi dia khabarkan pada Baba untuk menyunting Wardah. Ummi pun tak ada halangan. Baba dah senang tengok Wardah bertunang dengan dia. Tapi, takdir tentukan Wardah bersama Fairuz kerana tragedi hitam tu. Sekarang, Allah dah tunjuk siapa Fairuz yang sebenar. Wardah sepatutnya tahu macam mana nak buat pilihan. Baba serahkan pada Wardah untuk membuat penilaian seterusnya.” Baba bersuara tenang. Dia megusap kepalaku. Lama aku tidak merasa belaian seorang ayah. Lama tangan tua itu tidak mengusap kepalaku seperti ini. Akhirnya, aku terlelap di pangkuan ayah ku itu…

No comments: