Tuesday, December 4, 2007

Mencari Erti Cinta -mujahidah-

BAB 1

Aku terjaga agak lewat hari ini, Subuhku jua agak di hujung waktu. Kalau Ummi tahu aku menunaikan kewajipanku yang satu itu selewat ini, habislah aku dileterinya. Selesai berpakaian, aku melihat jam di meja solekku. Ya Allah, sudah terlewat rupanya aku untuk ke kuliah. Langkah kaki ku deraskan. Ummi yang sedang menikmati sarapannya di ruang makan agak tergamam dengan kekalutan ku itu. Namun aku kira ummi pasti memahami anaknya ini sudah terlambat. Aku hanya sempat menyalami dan mencium dahi ummi sebelum ku gapai kunci Satria GTI kesayanganku, hadiah pemberian Ummi sempena hari lahirku yang ke-20 tahun lepas. Ummi seolah-olah merestui pemergianku apabila dia mengusap kepalaku penuh kasih. Aku sering merasa syahdu apabila Ummi melakukan begitu. Terasa dalamnya kasih sayang Ummi meresap ke dalam lubuk hatiku. Tanpa sepatah kata pun, aku berlalu meninggalkan rumahku menuju Universiti Tun Abdul Razak, yang letaknya hanya sepuluh minit dari kawasan tinggalku. Telah dua tahun aku di sini, dalam usaha menamatkan pengajianku di bidang perniagaan. Bukan pintaku untuk terus belajar di sini tapi mengenangkan ummi yang akan keseorangan jika aku memasuki mana-mana institusi pengajian tinggi awam yang lain, aku memilih hanya untuk melanjutkan pengajianku di sini, supaya aku tidak perlu meninggalkan ummi sendirian di rumah. Besar pengorbananku? Aku kira tidak sebesar pengorbanan Ummi dalam membesarkan aku selama 21 tahun ini. Sudah cukuplah selama ini Ummi menghabiskan titik-titik peluhnya dalam membesarkanku, aku kira sudah sampai waktunya aku pula yang membalas segala jasanya. Aku meletakkan kenderaanku di tempat seperti biasa. Langkah ku atur kemas dan pantas menuju ke kelas ku. Pasti hari ini seperti hari-hari yang lepas, Puan Aisyah akan lewat untuk kuliah seperti biasa, bisik hati kecilku penuh yakin. Sebaik sahaja aku menyelak daun pintu yang memisahkan antara ruang rehat dan kelas ku itu, aku terpana. Ya Allah, mimpi apa pula Puan Aisyah tiba lebih awal hari ini? Ya, aku menjadi barang perhatian hari itu. Puan Aisyah hanya tersenyum sinis memandangku. Wajahku hangat tiba-tiba. Malunya aku,Ya Allah! "Err..Assalamualaikum Puan. Maafkan saya. Saya terlewat." Itu sahaja yang mampu aku tuturkan. Selebihnya,aku kelu. Mataku penuh tabah menatap wajah Puan Aisyah yang tenang itu. Bergelodakkah hatinya di sebalik ketenangan itu? Aku cuba mentafsir riak wajahnya. "Saya nampak itu, Wardah. Duduklah. But promise me,not to repeat it again." Tegas suaranya. Mujurlah dia tidak menghukumku. "Insya Allah,Puan. I'll try my best." Aku membalas arahannya bersama anggukan kepala dan terus mencari tempat duduk. Aduh, tempat yang biasa aku pilih telah diambil orang. Mataku melilau ke bahagian belakang bilik kuliah. Hanya ada satu tempat kosong, dan letaknya di sebelah Fairuz! Allah,apa pula ujian Mu kali ini? Mahu tidak mahu, aku terpaksa duduk di situ. Fairuz tersenyum,seolah-olah meraikan kemenangannya kerana aku di sisinya. Ah,lelaki ini memang tak tahu malu! Sepanjang kuliah itu, aku langsung tidak dapat menumpukan perhatianku. Sesekali anak mataku dapat mencuri pandangan Fairuz yang sering singgah di wajahku. Isk, tak belajar ke dia ni? Aku bersoal dengan hatiku sendiri. "Okay class, I want all of you to submit the assignment by next week. Assalamualaikum." Kata-kata Puan Aisyah itu menamatkan kuliahnya. Eh, aku terjaga dari termenung ku. Puan Aisyah dah keluar? Aku memandang buku nota di hadapanku, kosong. Masya Allah...tiada apa yang aku dapat untuk kuliah hari ini. Semuanya kerana Fairuz! Aku memandangnya,geram namun dia membalasnya dengan tersenyum. Benci aku melihatnya begitu. Baru sahaja dia ingin berkata sesuatu, aku bingkas bangun meninggalkannya terpinga-pinga. Ya Allah,hanya Dikau tempatku mengadu, dengarkanlah sendu rayuku. Tiada aku tanpa Mu oh,Tuhan...berkatilah hidup ini..rahmatilah tiap langkah hamba Mu ini... Aku mengeluh lagi untuk entah yang ke berapa kalinya. Serabut kepala ku memikirkan soalan Fairuz semalam.Aku tahu dia menuntut jawapan dariku hari ini. Ralit aku memikirkan permasalahan itu, tanpa ku sedari Fairuz telah pun berada di hadapanku. Lelaki ini, apa lagi yang kau mahukan dariku? Tanpa menunggu persetujuanku, Fairuz mengambil tempat duduk di hadapanku. Aku memalingkan wajah. Bimbang juga tercipta fitnah dan khabar angin apabila rakan-rakan kuliah ku melihat aku bersama dengannya di kafeteria ini. Fairuz terus merenungku. Seram sejuk aku dibuatnya. Wahai muslimin, tidak malukah engkau berbuat demikian pada seorang muslimah? Lantas aku teringatkan pesan Ummi untuk tidak berduaan bersama muslimin kerana yang akan hadir menjadi orang ketiga adalah syaitan. Aku ingin bingkas bangun namun ditahan oleh kata-katanya. "Nanti dulu, Wardah. Bila awak nak berhenti dari melarikan diri? Penat saya kejar awak,tau. Awak ingat saya ni apa untuk awak main kejar-kejar? Awak anggap saya ni adik-adik awak?" Aku tersenyum sinis. Kau silap,wahai lelaki. Aku tidak ada adik. Aku tersenyum lagi. Mungkin bengang dengan tindakku yang membisu, Fairuz bersuara lagi, "Wardah, saya ikhlas tentang apa yang saya katakan semalam. Awak dah pertimbangkan ke?" Telah ku agak soalan itu yang akan dibangkitkan. Aku tidak membalas kata-katanya. Dapat ku lihat dari anak mataku kemarahan yang ada di riak wajahnya. "Wardatul Syauqah, saya tahu apa yang cuba awak lakukan. Awak nak saya tergila-gilakan awak,kan? Awak fikir awak siapa untuk dapat semua tu? Sekali awak menolak saya, sepuluh perempuan lain yang akan mengejar saya, Wardah!" Astaghfirullahala'zim...istighfar panjang aku mendengar ayatnya itu. Dengan sifat sebegini kau cuba meraih cintaku, Fairuz? Lelaki dayus apakah engkau ini? Sabarkan aku, Ya Allah...kuatkan hatiku menerima ujianMu ini. Selepas melepaskan amarahnya itu, Fairuz terus berlalu. Tanpa menunggu lama, aku pun turut meninggalkan kawasan kafeteria itu lantaran ada segelintir mata yang sedang memerhatikan aku. Mungkin mereka tertanya-tanya mengapa Fairuz tiba-tiba mengamuk sedemikian rupa. Fikiranku tidak tenang. Kata-kata tohmahan Fairuz sebentar tadi asyik terngiang-ngiang di ruang telingaku. Apa lagi yang lelaki itu cuba buktikan padaku? Semalam dia melafazkan cinta, hari ini dia melampiaskan kemarahannya kepadaku. Lamunan ku terhenti ketika kereta yang aku pandu hampir-hampir merempuh pembahagi jalan. Ya Allah, syukur ke hadrat Mu kerana menyedarkan aku. Alhamdulillah. Aku tidak mahu begini akhirnya hidupku. AKu masih ingin bertemu Ummi dan Baba. Aku mengucap panjang mengenangkan apa yang mungkin terjadi padaku jika aku masih terus mengingati apa yang dikatakan Fairuz kepadaku. Kembara ku teruskan, hampir saja aku ke kawasan perumahanku, telefon tanganku berbunyi. Aku memandang skrin.Ah,Ummi. Tidak pernah dia menelefonku waktu-waktu begini. Pasti ada hal yang penting. Aku memberhentikan keretaku di sisi jalan lantas ku capai telefon ku itu dan menekan butang OK. "Assalamualaikum ratu hatiku." Salam ku hulurkan. Ummi masih membisu. Tidak lama begitu, ku dengar esakannya pula. Hatiku berdebar. "Ummi,kenapa ni? Ummi kat mana? Kenapa ummi? Kenapa Ummi menangis?" Soalan bertalu-talu aku hulurkan namun Ummi masih menjawabnya dengan esakan. Ya Allah, lindungi ibuku dari bala bencana. "Ummi, Wardah dah dekat dengan rumah. Lagi 5 minit Wardah sampai. Ummi tunggu,ya? Sekejap je lagi." Aku mengambil jalan penyelesaian. AKu tahu Ummi takkan mungkin menutur kata tika sedang menangis. Faham benar aku dengan sifat ratu hatiku itu. Aku menamatkan panggilan,terpaksa berbuat demikian untuk terus memandu. Tiba saja aku di hadapan rumah, aku tidak terus memarkirkan keretaku di halaman rumah sebaliknya aku terus berlari mendapatkan Ummi. Salam ku hulurkan, pintu ku ketuk namun Ummi masih membisu. Dadaku semakin berombak kencang. Aku teringatkan kunci simpanan milikku di dalam tas tangan. Laju tanganku mancapai kunci itu dam membuka pintu rumahku itu. Mataku liar mencari Ummi di ruang tamu namun hampa. Langkah ku atur ke bahagian dapur namun tidak ku temu Ummi di situ. Hatiku terdetik untuk ke ruang telefon yang terletak di sudut tangga dan akhirnya, aku melihat Ummi terduduk di situ, dengan air matanya yang berjuraian. Ya Allah,dugaan apa yang Kau berikan pada Ummi ku? "Ummi, kenapa ni? Wardah di sini, Ummi...anakmu di sini."Aku terus berlari memeluk Ummi. Aku cuba mengangkatnya namun Ummi berdegil untuk terus di situ. Ummi,jangan lemah,Ummi...Ummi kekuatan Wardah...Lama Ummi memelukku. Aku faham, Ummi memerlukan seseorang untuk menjadi bahunya menumpang tangis dan aku lah bahu nya itu. Aku mengusap belakang Ummi penuh kasih. Ya Allah,kurniakanlah kekuatan pada Ummiku. Sungguh Kau sajalah tempat sebaiknya untuk hamba-hambaMu memohon sesuatu. Lama begitu, barulah Ummi berhenti. Dia memandang wajahku,merenung tepat ke dalam mataku. Dapat ku rasakan kesedihannya tika itu namun tidak ku tahu apa puncanya. Kami berbicara mata, dan dapat ku fahami yang Ummi menyuruhku untuk membaca warkah yang berada di sampingnya. Warkah itu ku ambil, Ummi menggenggam erat tanganku tika aku menyusur satu persatu kandungan warkah itu.

Assalamualaikum…
Bidadariku, Ainul Mardhiah.
Abang tahu Mar mungkin terkejut bila menerima warkah abang. Abang tahu Mar dah lama cuba cari abang. Di mana abang sekarang, biarlah hanya Allah dan abang yang tahu. Mar percayakan takdir Allah,kan? Abang tahu bidadari abang yang abang cintai ini akan selalu kuat menerima dugaan dan ujian dari Allah. Bukankah dulu Mar pernah berkata yang ujian itu tanda kasih Allah pada hambaNya?
Bidadari…
Sungguh, abang akui. Abang benar-benar cintakan Mar sepenuh hati abang. Bagi abang, Mar adalah bidadari, umpama nama Mar sendiri, Mar adalah bidadari yang menjadi idaman para syuhada’. Mar seharum kuntuman di taman syurga yang menanti hadirnya seorang lelaki untuk menjadi bukti cinta sejati. Dan abang tahu, jika abang kehilangan Mar, abanglah orang yang paling bodoh. Bodoh kerana tak pandai menilai intan yang berkilau yang sememangnya milik abang. Lelaki mana yang tidak bangga punya isteri sepertimu,Mar? Dan abanglah orang itu. Abanglah lelaki yang berjaya menyuntingmu dari laman mawar kedua ibu dan ayahmu. Pandai ibu dan abah menamakanmu sebagai Ainul Mardhiah.
Sememangnya kau bidadari,sayang…
Isteriku…
Abang hanya harapkan Mar kuat dan terus kuat untuk mengharungi dugaan yang bakal mendatang. Abang tahu wanita yang abang pilih untuk menjadi ibu dan pendidik buat satu-satunya puteri abang ini adalah wanita yang kental,yang kuat dan yang tidak pernah mengalah pada ujian yang tiba. Wardatul Syauqah…puteri milik kita itu pasti benar-benar bergelar puteri kini. Jaga Wardah bagi pihak abang, Mar…abang tak berdaya untuk ketemu Wardah lagi kini. Abang malu. Malu pada Allah, malu pada Mar, malu pada ibu dan abah, malu pada Wardah…dan malu pada diri abang…
Maafkan abang,sayang…abang tak pandai berkata-kata. Abang bukanlah pujangga untuk mengukir sajak puisi indah untuk tatapan Mar. Abang hanyalah pengemis cinta yang hina yang tidak lagi mampu membahagiakan Mar. Abang benar-benar memohon maaf, Mar. Maafkan abang, ampunkan segala kesalahan abang. Halalkan makan minum abang ketika masih bersama Mar. Merdu suara Mar mendodoikan abang hingga terlena, lembut tangan Mar menghilangkan lenguh penat abang dulu, enak air tangan Mar menghidangkan santapan abang dulu, basah lidah Mar menenangkan abang tika abang gelisah dulu, takkan mungkin abang lupakan. Sungguh, Mar…Mar adalah isteri sebaik-baik isteri yang pernah abang temui. Namun Mar, abang harus akur. Benar kata Mar dulu, “Toiyibat untuk toiyibun dan toiyibun untuk toiyibat”…mungkin abang dah ketemu toiyibat yang abang impikan. Sayangnya, abang bukanlah toiyibun untukmu,sayang…maafkan abang…hinalah abang, caci makilah abang, abang tahu semuanya silap abang. Redhalah, sayang…ini takdir kita. Ini ketentuan yang ditetapkan buat kita.Ainul Mardhiah binti Mohd Azizan,Dengan ini, ana, Kharuddin bin Muhamad menjatuhkan talak satu ke atas dirimu.Maafkan abang. Sebab musababnya, biarlah hanya Allah dan abang yang tahu.Wallahua’lam bissawab.Sampaikan salam abang pada mawar berduri kita dengan lafaz Assalamualaikum…Sekali lagi, ampunkan abang…
Insan hina,
khairuddin

Air mata yang ku tahan jatuh satu-persatu. Ya Allah, lelaki apa yang Kau takdirkan buat Ummi, Ya Allah? Kenapa baba? Baba kejam!!! Lelaki apa baba ini Ya Allah? Lelaki dayus apa yang telah Kau takdirkan untuk menjadi keluarga kami? Ya Allah…tabahkan hati kami,kuatkanlah semangat kami mengharung dugaanMu!!!“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati. Padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman.” (Ali-Imran:139) Ummi terjaga dulu dari aku pagi itu. Semalam kami tertidur dalam pelukan masing-masing setelah selesai solat Isya’ berjemaah. Benar, Ummi benar-benar kuat. Itulah kegagahan wanita bagiku, kegagahannya bila dia tabah menerima sebuah kehilangan. Aku hanya bangun bila Ummi selesai mandi dan berwudhu’. Ah, tak sanggup aku lepaskan peluang untuk solat berjemaah bersama Ummi kali ini. Aku bingkas menuju ke tandas dan berwudhu’. Aku pasti Ummi menanti aku. Amin…aku mengaminkan doa Ummi…sayu ku dengar rintihan hati Ummi kali ini. Aku menyalami tangan Ummi, ku kucup tangannya penuh sayang dan dia mencium dahiku seperti biasa. Aku memandang matanya, dapat ku kesan bengkak tangisannya yang tidak henti dari semalam. Belum sempat aku berkata-kata, Ummi dulu yang memulakan bicara, “Wardah sayang, tak ada seorang muslim pun yang ditimpa sesuatu yang menyakitkan berupa penyakit atau lain-lainnya melainkan kerananya Allah akan menghapuskan keburukan sebagai mana pohon yang menggugurkan daun-daunnya.” Ummi mengusap lembut kepalaku. Aku mengangguk, faham akan maksud kata-kata Ummi itu. “Dan orang-orang mukmin itu jiwanya damai dan tak mudah tergoncang. Ujian Allah baginya fitrah, sebagai mehnah didikan terus daripadaNya sebagai tanda kasih sayang dan penghapus dosa.” Ummi menyambung lagi. Aku memeluk Ummi dan Ummi membalas pelukanku itu. Lama kami begitu, ralit bersama perasaan masing-masing. Akhirnya, Ummi meleraikan pelukanku dan berkata, “Ummi nak keluar hari ni. Nak pergi mahkamah syariah. Ummi nak failkan perceraian Ummi ni. Wardah nak ikut?” Dapat ku dengar riak tenang di balik kata-kata Ummi. Aku cuba mencari kekuatan untuk berkata-kata. Rasanya aku masih tertampar dengan warkah yang aku baca semalam. Baba pengecut! Baba dayus! “Wardah ikut Ummi.” Itu sahaja jawapanku. Aku tidak mampu untuk terus berkata-kata kerana bimbang wajahku dihujani tangis lagi. Cukuplah. Lelaki memang tidak pernah tahu apa itu cinta. Selesai menyiapkan diri, aku menunggu Ummi di dalam keretaku. Malas aku memandu kereta Ummi kerana aku kini lebih senang dengan kereta panduan auto. Lama juga aku menunggu barulah Ummi tiba. Aku cuba mencari bias resah dan kecewa di wajah Ummi namun hampa. Ummi benar-benar tabah. Aku sendiri tidak tahu bagaimana Ummi boleh menjadi setabah itu. Kenderaanku pandu cermat, tiba sahaja di mahkamah, Ummi tidak membenarkan aku mengikutnya ke dalam. Disuruhnya aku menunggu di dalam kereta. Aku hanya bersetuju bila Ummi mengatakan peguamnya adalah muslimah, itu lebih selamat fikirku. Aku ralit memikirkan perihal Ummi dan Baba bila telefon tanganku bingit minta dijawab. Lagu “Demi Cinta Suci” memenuhi ruang dengarku tika itu. Pantas tangan aku mencapai telefon dan menerima panggilan itu tanpa melihat nombor di skrin terlebih dahulu. “Assalamualaikum.” Seperti biasa, aku memulakan bicara. Tiada sahutan. Aku hanya menunggu malas. “Alaikumussalam Wardah.” Suara itu, ya…suara yang telah hampir setengah tahun tidak ku dengari. Aku diam, menanti kata-kata seterusnya dari pemanggil. “Wardah sihat?” soalan itu ku biarkan bisu. Hati ini masih tidak dapat menerima hakikat yang dia menghubungiku. Tetapi untuk apa? “Baba tahu Wardah marahkan Baba.” Akhirnya dia membahasakan dirinya ‘Baba’. Baba? Layakkah dia digelar bapaku? “Mawar berduri…jangan diam,sayang.” Sayang? Siapa engkau untuk memanggilku sayang? “Wardah…Baba di atas,bersama Ummi.” Oh, jadi kerana itu Ummi menegah aku dari mengikutnya. Aku tahu mengapa,Ummi bimbang aku akan bertindak di luar batasan jika bertemu lelaki ini. Ya Allah, tinggikan tembok sabarku! “Wardah…biar apa pun yang Wardah fikirkan tentang Baba, Baba cuma nak Wardah tahu bukan niat Baba untuk mengabaikan Wardah. Baba ada sebab tersendiri,sayang.” Dan aku juga punya sebabku sendiri untuk tidak menerimamu sebagai Baba! “Wardah..” belum sempat lelaki itu meneruskan kata-katanya aku telah mematikan penggilan itu,sekaligus mematikan telefon tanganku. Ah, dia bukan ayahku! Dia bukan orang yang layak untuk aku panggil baba! Bukan! Aku meletakkan kepala ku di stereng kereta. Masa dirasakan begitu lambat berlalu.Umi…cepatlah,Wardah dah tak sanggup berada di sini… Baru saja aku ingin memejamkan mataku, cermin tingkap ku di ketuk. Aku memandang gerangan yang mengetuk tingkap kereta ku itu. Dia mengisyaratkan agar aku menurunkan cermin dan aku akur. Bimbang juga andainya dia ingin meminta pertolonganku. “Assalamualaikum ukhti. Anti tak apa-apa ke?” suaranya menusuk hatiku sebaik sahaja aku menurunkan cermin itu. Aku memandangnya. Tak tahu mengapa sejuk benar mataku memandang ciptaan Allah yang sempurna di hadapanku itu. Mungkin bimbang dengan kebisuanku, dia bertutur lagi, “Ukhti, ana bukan nak kacau ukhti tapi ana bimbang jugak sebab ana tiba-tiba ternampak anti tertidur dalam kereta ni. Ana takut anti pengsan ke..ape ke..anti ok ke?” suara itu lagi yang menusuk terus ke dasar hati ku. Tuhan, bidadara kah yang Kau turunkan ini? Aku terpinga, tidak tahu apa untuk dijawab. Dia masih sabar berdiri di sisi kenderaanku. “Ah, ana tak apa-apa. Ana okay. Ana cuma kebosanan menunggu ummi ana dari dalam sana.” Akhirnya aku bersuara. Mendengarkan itu, dia tersenyum. Mujur aku telah biasa bertutur menggunakan kata ganti diri seperti itu. kebiasaan yang aku dapat ketika aku menuntut di sekolah menengah, dan semenjak aku mula aktif dalam gerakan islah. “Aidil Azhiim. Ini kad ana. Ummi anti di dalam,ya? Mungkin bertemu janji dengan abi. Anti tak mahu masuk dulu? Kasihan pula pada anti menunggu di tengah panas ni.” Aku menyambut kad hulurannya. Tanpa melihat,aku letakkan kad itu di dalam tas tanganku. “Syukran. Tapi ana rasa biarlah ana tunggu di sini. Lagipun, tak panas pun. Ana kan dalam kereta?” dia tersenyum lagi. Senyuman itu…Subhanallah..manisnya… “Baiklah,ukhti. Ana masuk dulu ya? Semoga selamat. Assalamualaikum.” Dia terus berlalu sebaik melafazkan salamnya aku. Aku menyambut salam itu dan terus menaikkan kembali cermin tingkap kereta ku. Wajah itu…tak mungkin akan aku lupakan!

1 comment:

Ajemi said...
This comment has been removed by the author.