Tuesday, December 4, 2007

BAB 2

Kad itu ku belek lagi untuk ke sekian kalinya. Aidil Azhiim..nama itu seindah wajahnya. Tuhan, apa di hatiku ini? Serentak itu pintu kamar ku diketuk. Aku yakin itu ummi. Belum sempat aku menyuruh permaisuri hatiku itu masuk, dia telahpun membuka pintu itu. “Assalamualaikum sayang.” Umi tersenyum. Senyum ummi itu…ah, sukar diertikan maksudnya. “Alaikumussalam,ratu hati. Ada apa Puan? Boleh saya bantu?” aku cuba bergurau. Ummi menyambutnya dengan senyuman. “Wardah, kenapa cakap macam tu dengan Baba semalam?” ummi melabuhkan punggungnya di sisiku. Aku bingkas meletakkan kepalaku di ribanya. Jarang benar aku berpeluang bermanja dengan ummi begini. Aku hanya membisu. Yakin ummi tahu akan jawapanku. “Sayang…ummi tahu Wardah marahkan Baba, tapi itu bukan caranya,sayang…ummi tak ajar mawar berduri ummi buat macam tu. Malu ummi pada Tuan Saiful dan anaknya.”Tuan Saiful? Aku memandang wajah ummi dengan seribu soal. “Tuan Saiful tu peguam yang uruskan kes ummi dan Baba. Baba mengeluh semalam depan dia, terus Tuan Saiful tanya. Kebetulan pulak anak teruna dia masuk waktu tu. Apa lagi, glamor lah anak ummi ni semalam dalam pejabat tu.” Ha? Aku bingkas bangun dan mengadap ummi. Anak Tuan Saiful? Terus aku teringatkan kata-kata Aidil Azhiim tentang abi nya…mungkinkah… “Anak Tuan Saiful…Aidil Azhiim…” ummi menambah, seolah-olah mengerti dengan isi hatiku. Ya Allah..malunya aku! “Err…anak dia kata apa,ummi?” aku mencapai tangan ummi dan ummi tersenyum. “Aidil cakap, dia terjumpa kamu di bawah. Katanya tak sangka mawar berduri ummi ni keras hati. Nampak macam lembut je…” ummi tergelak kecil. Dapat aku rasakan wajahku panas ketika itu. “Dahlah tu. Apa yang nak Wardah malukan dengan Aidil tu…dia faham apa yang terjadi. Hurm, kes ummi dan Baba dah selesai. Ummi bukan isteri Baba lagi tapi Wardah kena ingat, Wardah tetap anak Baba. Dan Baba masih Baba Wardah.” Ummi menyentuh wajahku. Baru aku ingin menjawab, “Esok Baba datang ambil Wardah keluar makan. Ummi nak Wardah layan Baba baik-baik. Wardah kan anak solehah? Jangan kerana ummi hubungan Wardah dan Baba keruh. Ummi tak suka. Ummi dah biasa tanpa Baba. Tapi ummi tak nak nanti Baba cakap ummi tak pandai mendidik Wardah. Faham tak,sayang?” “Tapi…” “Tak ada tapi-tapi lagi,sayang. Wardah sayang ummi tak?” aku mengangguk,lemah… “Kalau sayang, tolong…demi ummi, kerana Allah…boleh tak?” ummi pandai menggunakan senjatanya. Akhirnya aku mengangguk, tewas dengan pujukan ummi. Ya Allah, kuatkan hatiku, Tuhan…hanya padaMu tempat aku memohon sesuatu! Aku tak tahu mengapa ummi beria benar menyuruhku bersiap malam itu. selalunya ummi tidak begitu. Kata ummi, mungkin malam ini aku akan bertemu tetamu istimewa. Ummi…kenapa buat Wardah macam ni? Ummi tahu Wardah tak nak pergi,kan? Ummi… Aku masih memandang wajah ummi kala Baba tiba dengan Waja nya. Aku bermalasan untuk melangkah di pintu sehinggalah ummi menegur. “Wardah, pergi cepat. Kasihan Baba menunggu tu. Tak baik biar tetamu menunggu,kan sayang?” Ummi menghulurkan tangannya, minta disalami. Aku salam tangan itu, ku kucup penuh sayang. Ummi…aku masih cuba meraih simpatinya namun ummi seakan-akan membutakan matanya dari memberi simpati yang aku tagih itu. Dan aku akur, aku mengorak langkah menuju ke arah kereta Baba. Kereta yang telah setengah tahun tidak aku naiki! “Assalamualaikum mawar berduri.” Baba menghulurkan tangan tuanya, mengharapkan aku menyambutnya dan menyalaminya. Aku memandang wajah itu. Ah, wajah Baba tidak dimamah waktu. Mungkin kerana itu ada wanita lain yang merampas tempat ummi! Aku menyambut huluran itu, serentak menjawab salamnya dan duduk di sisi lelaki itu. Lelaki yang terlalu dicintai ummi satu ketika dulu. Ingin saja aku tanyakan Baba mengapa diperlakukan ummi begitu. Ingin saja aku hunus Baba dengan jutaan soalan dan pertanyaan agar dia kembali pada ummi. Tapi, berbaloikah? “Wardah nak makan di mana,sayang?” Baba bersuara,memecahkan keheningan di atmosfera keretanya. Aku tidak banyak bertutur malam itu. “Ikut suka Baba lah. Wardah tak merancang apa-apa malam ni.” Aku menjawab,sekadar mencukupi syarat. Lagipun, janji ku bersama ummi semalam untuk melayannya dengan baik masih kukuh dalam ingatanku. “Baba bawak Wardah makan seafood,ya? Wardah mesti dah lama tak makan di Kelana Seafood,kan?” Aku mengiyakan kata Baba walaupun hakikatnya baru minggu lepas aku membawa ummi makan malam di situ. Ya Allah, aku mohon padaMu,Tuhan…kuatkan benteng sabarku. Akhirnya kami tiba di sana. Bukanlah jauh benar rumahku dari tempat makan itu. Aku hanya mengikut langkah Baba mengambil tempat di satu sudut restoran itu. Seperti biasa, orang di situ tetap ramai. Tidak hairanlah, restoran itu memang terkenal hinggakan sahabatku di Melaka juga tahu akan kewujudannya. Apa yang akan kami makan malam itu, ku serahkan sebulatnya pada Baba untuk memutuskan. Aku, hanya akur dan mengangguk. Lagak Baba malam itu seperti tiada apa yang telah terjadi. Lelaki itu seolah-olah tidak langsung merasa sedih dengan perpisahan yang terjadi antara dia dan ummi. Wajahnya seolah-olah tidak langsung mencerminkan perasaan bersalahnya membuat keputusan yang sebegitu. “Bukan Baba tak rasa bersalah, sayang.” Baba bersuara, membuatkan aku sedikit terkesima. Dia seperti mendengar suara hatiku. Aku memandangnya. “Baba tahu, Baba memang salah buat ummi macam tu. Tapi, tolonglah faham keadaan Baba. Baba terpaksa, Baba tiada pilihan lain.” Baba cuba meraih simpatiku. Ah, tak mungkin Wardah menyokong Baba! Ummi nyawa Wardah, ummi segalanya bagi Wardah! Aku memberontak di dalam hati. “Kalau Baba tak tinggalkan ummi, Wardah sanggup tengok ummi dimadukan?” Baba melontarkan soalan yang membuatkan aku tersenyum. “Kenapa mesti bermadu, Baba? Baba tahu kan madu tu perkara manis yang amat pahit untuk seorang nisa’?” akhirnya aku bersuara. Baba masih berlagak tenang. “Atas sebab itu Baba terpaksa meninggalkan ummi. Baba tak sanggup tengok ummi menelan madu yang pahit.” “Dan untuk menggantikan madu yang pahit itu, Baba berikan ummi racun? What do you expect from her, Baba?” Baba diam, membalas soalan aku itu dengan keluhan. Aku tahu Baba mati akal untuk menjawab soalanku. “Wardah dah besar, Wardah berhak tahu apa yang terjadi. Jangan anggap Wardah masih kecil, Baba. Apa yang ummi rasa, Wardah turut rasa. Baba ingat senang ummi nak setabah itu? Dua tahun, Baba. 24 bulan Baba hilang. Belum cukup ke Baba seksa perasaan ummi? Sepanjang 24 bulan tu, ada Baba tanyakan khabar ummi? Tak, kan? Khabar Wardah apatah lagi. Entahkan Baba masih hidup atau tak, kami langsung tak tahu. Seingat Wardah, kali terakhir Baba telefon ummi, setengah tahun yang lepas. Tiba-tiba, Baba hantar surat, jatuhkan ummi talak satu. Lelaki apa Baba ni? Wardah bukan nak kurang ajar. Ummi tak pernah ajar Wardah macam ni. Tapi, Wardah tak sanggup nak tengok ummi menderita.” Perlahan-lahan, air mataku mula membasahi pipi. Baba hanya memandangku,kelu. “Dalam tempoh tu, macam-macam benda yang terjadi kat keluarga kita, kat ummi. Macam-macam fitnah yang jiran-jiran taburkan di muka ummi. Ummi tak pandai jaga suami, ummi tak pandai jaga rumahtangga, suami ummi larikan diri, suami ummi tinggalkan ummi untuk perempuan lain, ummi isteri derhaka, ummi segala-galanya! Dan dalam tempoh itu ummi cukup kuat. Wardah nampak kekuatan ummi. Wardah nampak kegagahan ummi. Wardah tak pernah nampak ummi menangis, Wardah tak pernah nampak ummi merintih. Yang Wardah nampak setiap hari selama 24 bulan tu, hanyalah ummi yang sentiasa tersenyum. Ummi yang tidak pernah meninggalkan tasbihnya. Ummi yang tak pernah tertinggal satu pun kuliah agama di masjid. Mana Baba tika ummi memerlukan? Mana Baba saat ummi hampir terjatuh?” air mata yang ku tahan jatuh jua. Baba masih bisu memandangku. Biar, biar dia rasa bersalah. Biar dia menyesali tindakannya! “Baba tahu ummi kuat, sebab tu Baba yakin apa yang Baba buat ni betul. Wardah, kadang-kadang kita perlu korbankan sesuatu untuk dapatkan sesuatu. Baba bukan sengaja nak korbankan ummi.” “Dan untuk dapatkan kebahagiaan Baba, Baba korbankan hidup ummi?” Baba baru sahaja hendak membalas kata-kataku bila makanan yang kami pesan tiba. Serentak dengan itu, 2 lelaki menghampiri kami. Yang seorang itu, aku tidak pasti siapa tetapi di sebelahnya, adalah lelaki yang sering bermain di mataku sejak kali pertama aku memandangnya! Tuhan, janji apakah ini? Baba melambai, menggamit mereka untuk menyertai kami. Aku memandang Baba dan akhirnya Baba bersuara, “Baba yang ajak Tuan Saiful dan anaknya join kita.” Anaknya? Aidil Azhiim? Tuhan…

No comments: